Home | Looking for something? Sign In | New here? Sign Up | Log out
Lilypie First Birthday tickers
Related Posts with Thumbnails

Monday, August 30, 2010

Silap Tafsiran

Monday, August 30, 2010

mutah.JPG
(Sumber)“Mahar yang tinggi adalah musibah kepada ummah!”, laung khatib dari atas mimbar Jumaat.
Saya mendengar dengan teliti khutbah yang disampaikan.
Di kiri dan kanan, tidak ramai ahli Jumaat yang tersengguk lena. Celik mata, mungkin kerana intonasi khutbah yang panas.
“Biar pun kita tidak mempunyai peruntukan untuk menetapkan kadar maksimum mahar, setiap bapa terutamanya ibu harus sedar bahawa mahar itu adalah hadiah suami kepada isteri, dan bukannya harga yang ditebus oleh seorang lelaki bagi mendapat seorang perempuan dari ibu dan bapanya. Mahar bukan harga jualan!”, tegas khatib lagi.
Persoalan mahar memang agak sensitif bagi orang Arab.
Tolaklah ke tepi orang kaya di negara Teluk. Mahar mereka bukan cincin bertatah berlian atau plan takaful panjang sedepa. Mahar mereka ialah 2kg emas!
Tetapi di Jordan yang serba miskin ini pun bukan main dahsyatnya.
Ada mahar tunai, dan ada mahar tertangguh. Mahar tunai, kadarnya biasa-biasa sahaja. Tetapi mahar tertangguh yang disebut di dalam akad, bakal menjadi hutang sepanjang hayat suami kepada isterinya (baca: keluarga isterinya). Itu belum diambil kira rumah mafrusyat (berperabot lengkap) yang mesti disediakan menjelang perkahwinan.
Aduh!
Tidak terkejut diri saya, tatkala melihat ada masjid yang menyediakan tabung derma. Bukan derma anak yatim atau membesarkan masjid. Tetapi tabung membantu anak muda berkahwin!
MATI ATAU KAHWIN
mazar.jpg
“Betulkah kamu nak ke Bosnia?”, saya bertanya kepada abang tuan rumah sewa kami. Petang-petang musim bunga, sedap juga berbual sambil mencium bau ladang gandum yang menghijau di pinggir rumah.
“Ya. Bulan depan saya akan ke sana. Sebagai tentera pengaman PBB”, katanya.
“Kamu diarahkan ke?”, saya menyoal lagi. Sengaja meramahkan diri.
“Tidak. saya yang tawarkan diri!”, jawabnya.
“Oh, mengapa?”, terkejut juga saya dibuatnya.
“Kalau saya pulang dengan selamat, saya akan menerima pampasan dari kerajaan. Bolehlah buat modal berkahwin. Kalau saya mati, tak payah kahwin!”, jawabnya.
“Haha!”, saya ketawa kemudian terdiam.
Sampai begitu sekali, hingga terpaksa memilih antara kahwin dan mati. Umurnya pun sudah mencecah lewat 30an. Jarang benar saya temui orang Jordan yang berkahwin di usia 20an. Mengumpul wang sampai tua, untuk berkahwin.
PUKUL ISTERI
Masalah mahar yang tinggi juga menjadi punca kepada satu ‘adat’ orang Arab yang saya ketahui. Sebaik sahaja perkahwinan berlangsung, ada sesetengah suami yang akan memukul isteri.
Agaknya untuk menggertak isteri supaya jangan main-main kerana sang suami sudah mengumpul duit setengah mati untuk mengahwininya!
SALAH NASIHAT
Khatib terus menyampaikan khutbahnya. Pelbagai kisah dari Sirah Nabi SAW yang dipetik untuk dijadikan keterangan tentang persoalan mahar. Saya nampak orang-orang tua ramai yang tunduk. Mungkin terasa merah padam muka kerana pernah ‘menjual anak perempuan’ dengan mahar yang melampau-lampau.
“Lihat macam pelajar Malaysia!”, kata khatib.
Err, tersentak saya dibuatnya. Tiba-tiba pula kami disebut di dalam khutbahnya.
“Mereka berkahwin dengan cara yang lebih dekat dengan Sunnah. Mahar mereka hanyaJD25 dan mereka hidup sederhana!”, khatib ‘mendedahkan’ harga mahar yang lazim di kalangan pelajar Malaysia yang berkahwin semasa belajar.
Bulat mata jemaah masjid mendengarnya. JD25!!!
tayyar.jpg

Usai solat Jumaat didirikan, sudah menjadi kelaziman kami untuk berbual-bual di perkarangan masjid. Suatu kenangan yang sukar dilupakan, manis sekali bertemu wajah dengan rakan-rakan setiap kali selesai bersolat di Masjid Jaafar ibn Abi Thalib di pekan Mazar ini.
Saya memasang telinga…
“Kalau macam ni, baik kita kahwin dengan akhwat Malaysia sahaja!”, kata pemuda-pemuda Arab yang berbual.
Aduh! Khutbah itu bukan berjaya mengurangkan mahar, sebaliknya memberikan pilihan baru. Mari buru akhawat Malaysia!
Salah nasihat…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com

0 comments:

Post a Comment

 

min aina..?